Thursday, May 19, 2011

Mari Mengenal T.A.Q.W.A


Assalamualaikum w.b.t

Apa khabar sahabat semua? Sudah 6 bulan blog ini 'berhabuk' kerana ditinggalkan oleh tuannya sendiri. Mungkin ada sahabat yang tertunggu-tunggu entri terbaru dan tidak mustahil ada sahabat yang ingat tanahina sudah kembali kepada Pencipta. Alhamdulillah tanahina masih diberikan ni'mat hidup olehNya dalam keadaan ISLAM dan IMAN cuma tanahina mengalami masalah kekangan masa dan ketandusan idea untuk menulis. Maklumlah, tanahina bukan penulis hebat seperti sahabat semua. Oklah, panjang pulak tanahina membebel ayuh kita kembali kepada tajuk diatas. Apabila mengenangkan ni'mat hidup dalam ISLAM dan IMAN yang dikurniakan olehNya, tidak dapat tidak pasti bersangkut paut dengan TAQWA. Seringkali kita mendengar kalimah keramat ini terutama lelaki yang mendengar setiap minggu. Namun, apakah itu TAQWA? adakah kita betul-betul mengerti erti TAQWA? dan yang paling penting adakah kita orang yang berTAQWA? Kali ini tanahina cuba ketengahkan perkara ini tetapi tanahina hanya menaqalkan atau menukilkan dari buku 'Mutiara Tasawuf Ibnu Athaillah' karangan Ustaz Rashidi Jamil Al-Rashid kerana siapalah tanahina untuk membincangkan perkara besar ini. Terimalah sahabatku..

Sabda Rasulullah S.A.W sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abu Sa'id r.a :

"عليك بالتقوى الله فإنه جماع كل خير وعليك بالجهاد فإنه رهبانية المسلم وعليك بذكر الله فإنه نور لك"

Mafhumnya:

"Wajib ke atasmu bertaqwa kepada Allah kerana taqwa merupakan himpunan segala kebaikan. Wajib ke atasmu tetap berjihad kerana jihad merupakan ibadah orang Islam dan wajib ke atasmu tetap dalam mengingati Allah kerana zikrullah itu merupakan cahaya bagimu."

(Hadis riwayat Ibnu Majah Al-Dharis)

Definisi Taqwa

Apakah maksud taqwa? Apakah taqwa itu merupakan sifat yang boleh dicari menerusi jalan menuntut ilmu semata-mata?

Sebenarnya para ulama' telah mendefinisikan taqwa dengan pelbagai ta'rifan. Namun dari segi bahasa taqwa membawa maksud takut dan memelihara. Manakala dari segi istilah pula penulis (Us Rashidi Jamil Al-Rashid) cuba menukilkan definisinya menerusi pandangan ulama Tasawuf antaranya:

Al-Nasr Abazi berkata: "Taqwa ialah seseorang yang memelihara dirinya daripada menyembah selain dari Allah SWT."

Abu Bakar Muhammad Al-Rauzabari berkata: "Taqwa ialah kamu menjauhkan diri dari perkara yang menjauhkan dirimu dari Allah."

Syeikh Ibnu Athaillah berkata: "Taqwa terbahagi kepada dua iaitu taqwa zahir dan taqwa batin. Taqwa zahir adalah menjaga batas syariat manakala taqwa batin pula ialah disertakan dengan niat dan ikhlas."

Ibnu bin Habib r.a berkata: "Taqwa ialah engkau menanti cahaya (petunjuk) daripadaNya demi mengharapkan pahala disisiNya. Serta engkau menjauhkan dirimu dari segala perbuatan maksiat menerusi petunjuk daripadaNya kerana menghindari serta takut akan seksaNya."

Inilah antara definisi Taqwa disisi ulama Tasawuf seperti yang dinukilkan oleh Imam al-Qusyairi didalam Risalah al-Qusyairiah.

Taqwa itu manis

Taqwa merupakan puncak segala penghasilan terhadap amalan kehambaan didalam mentaati Allah. Ia bukan semata-mata teori yang dipelajari tetapi taqwa terhasil menerusi ketaatan yang bersungguh-sungguh padaNya yang Maha Agung. Tidak kira sempurna taqwanya sekiranya ia masih menyerahkan sekalipun sekecil zarah bahaguan kehidupannya kepada Allah SWT.

Taqwa seumpamanya buah manis yang terhasil apabila pokok syariat itu dijaga dengan sebaiknya. Apabila seseorang itu dikurniakan taqwa menerusi jalan hidayahNya, maka terarahlah pandangan batinnya kepada akhirat bersifat hakikat. Ia akan mengambil dunia hanya sebagai peinjaman.

Al-Kattani pernah mengumpamakan taqwa sebagaimana berikut:

"Sesungguhnya dunia diciptakan hanya semata untuk manusia menerima cubaan (yang akan meningkatkan taqarrubnya kepada Allah) manakala alhirat diciptakan agar manusia bertaqwa (tunduk dan takut kepada Allah)."

Bahkan diriwayatkan bahawa Abu Hanifah tidak pernah duduk berteduh dibawah bayangan pohon dan tanaman yang dimiliki oleh orang yang mempunyai hutang dengannya. Ini adalah kerana ketaqwaan Abu Hanifah apabila mengingati hadis dari Baginda SAW yang menyebut:

"كل قرض جر نفعا فهو ربا"

Mafhumnya:

"Setiap hutang yang mendapat keuntungan adalah riba."

Subhanallah! Dengan ketaqwaannya Abu Hanifah menganggap bahawa berteduh dengan mengambil manfaat dari lindungan pokok orang yang masih berhutang dengannya adalah dianggap riba. Inilah kesempurnaan taqwa yang terhasil apabila hati sentiasa berhubung dengan Allah SWT.

Benarlah kata al-A'masyi r.a:

"من كان رأس ماله التقوى كلت الالسن عن وصف ربح دينه ومن كان رأس ماله الدنيا كلت الالسن عن وصف خسران دينه"

Mafhumnya:

"Barangsiapa modal pokoknya taqwa, maka lidah-lidah menjadi kelu untuk menyifati keuntungan agamanya. Dan barangsiapa yang modal pokoknya dunia, maka lidah lidah juga tidak mampu menjumlah (mengira) kerugian agamanya."

Ketaqwaan Bilal bin Rabah

Renungilah ketaqwaan Bilal bin Rabah. Betapa ketaqwaan Bilal bin Rabah telah teelakar didalam sejarah kehambaan manusia yang terpilih disisiNya. Hamba berkulit hitam ini pernah ditanya oleh Baginda SAW:

يا بلال بم سبقتني إلى الجنة؟ إني دخلت البارحة الجنة فسمعت خشخشتك أمامي. فقال بلال: يا رسول الله! ما أذنت قط إلا صليت ركعتين وما أصابني حدث قط إلا توضأت عندها ورأيت أن الله علي ركعتين فقال رسول الله صلى عليه وسلم: بهما

Mafhumnya:

"Wahai Bilal! Dengan (amalan) apa yang menyebabkan engkau mendahuluiku masuk ke dalam syurga? Sesungguhnya aku bermimpi masuk ke dalam syurga da aku mendengar suaramu telah berada di hadapanku. Bilal menjawab: Ya Rasulullah! Tidaklah aku melaungkan azan kecuali aku iringi dengan solat suna dua rakaat selepasnya dan tidaklah aku membiarkan diriku ditimpa hadas (kecil) kecuali aku aku akan bersegera berwuduk. Pada pendapatku, boleh jadi Allah memberi keistimewaan itu disebabkan solat dua rakaat yang aku lakukan itu. Rasulullah SAW menjawab: Tidak! tetapi dengan sebab kedua amalan itu."(yang menyebabkan kamu dianugerahkan Allah dengan keistimewaan tersebut)

Inilah ketaqwaan yang sempurna. Ia terhasil apabila kecintaan terhadap Allah dan RasulNya itu sentiasa mendahului dunia yang akan ditinggalkan.

Kisah seorang wanita yang bertaqwa dan Imam Ahmad bin Hanbal.

Ketika Imam Ahmad bin Hanbal selesai menyampaikan kuliah dan pengajarannya, pernah beliau ditanya oleh seorang wanita:

"Wahai Tuan Guru. Kami merupakan satu keluarga yang mencari rezeki menerusi pekerjaan menjahit dan menenun pakaian. Sedangkan kami menjahit pada waktu malam dengan menumpang lampu dari obor tentera kerajaan yang berjalan ditepi rumah kami, Apakah halal pendapatan yang kami dapat meskipun kami telah menumpang pada cahaya obor yang menerangi kami itu?"

Subhanallah! Sungguh Imam Ahmad bin Hanbal terdiam mendengar pertanyaan yang penuh dengan taqwa itu. Betapa taqwanya telah memelihara pemiliknya bukan sahaja pada perkara haram bahkan didalam persoalan syubhah.

Umar Abdul Aziz dan tiga anak muda.

Sudahkah kita membaca riwayat ketaqwaan seorang pemuda dengan khalifah Umar Abdul Aziz? Sungguh ketaqwaannya itu telah menangiskan mata khalifah yang terkenal dalam sejarah kezuhudan dan ketaqwaan khalifah-khalifah Islam.

Ya benar, Umar Abdul Aziz telah menangis sehingga membasahi janggutnya pada hari dia dikunjungi oleh tiga anak muda yang datang mengucapkan bai'ah padanya kerana dipilih sebagai khalifah umat Islam.

Disaat Umar memandang tiga anak muda itu, bertanya Umar:

"Siapakah kamu wahai anak muda?"

Pemuda pertama menjawab: "Wahai Khalifah, sesungguhnya aku anak seorang pembesar yang telah mengabdikan diri kepada pemerintah Khalifah Malik bin Marwan di Basrah."

Mendengar jawapan itu, Umar bin Abdul Aziz terdiam seketika dan kemudian dia terus bertanya lagi kepada pemuda kedua:

"Siapakah kamu?"

Pemuda kedua menjawab: "Wahai Khalifah, sesungguhnya aku anak seorang panglima tentera yang mengabdikan diri kepada pemerintah Khalifah al-Walid bin Abdul Malik."

Mendengar jawapan itu, Umar bin Abdul Aziz masih terdiam. Kemudian sambil memandang kepada pemuda ketiga Umar bertanya:

"Kamu?"

Pemuda ketiga menjawab: "Wahai Khalifah, aku bukanlah anak kepada mana-mana pembesar atau panglima yang ternama. Aku hanyalah anak kepada Qatadah bin al-Nukman al-Ansari yang matanya telah terkena libasan pedang musuh disaat dia melindungi Rasulullah SAW didalam peperangan Uhud. Pada saat darah keluar dari mata lalu mengalir ke pipinya, Rasulullah SAW telah mengusap pipi ayahku itu dengan tangan Baginda yang mulia."

Mendengar jawapan itu, menangislah Umar bin Abdul Aziz kerana terharunya sehingga membasahi janggutnya. Tidak lama kemudian, sambil memandang ke arah anak muda itu Umar berkata:

"Inilah kemuliaan yang tidak datang dari air susu (keturunan). Sesiapa yang hendak membanggakan diri, maka berbanggalah seperti apa yang dibanggakan oleh anak Qatadah ini sebab kebanggaan sebenar ialah Islam, pengabdian dan ketaqwaan kepada Allah SWT."

Subhanallah! Benarlah ketaqwaan itu merupakan wasilah dan syarat mendapat rahmat dan kurniaanNya yang sangat luas. Bahkan apa yang dinyatakan oleh khalifah Umar Abdul Aziz ini sebenarnya membernarkan apa yang telah diucapkan oleh datuknya Umar Ibn al-Khattab:

"نحن قوم أعزنا الله بلإسلام فمهما ابتغينا العز بغير م أعزنا الله أذلنا الله"

Mafhumnya:

"Kami adalah satu kaum yang dimuliakan Allah dengan Islam. Sekiranya kami mencari kemuliaan selain dari kemuliaan yang telah dijanjikan Allah, kami pasti akan dihina Allah."

Perhatikan firman Allah SWT mafhumnya:

"Dan hendaklah kamu mempersiapkan bekalan. Sesungguhnya sebaik-baik bekalan ialah Taqwa. Dan bertaqwalah kepadaKu wahai orang-orang yang berakal (yang dapat memikir dan memahaminya)."

(Surah Al-Baqarah ayat 197)

Oleh itu persiapkanlah bekalan taqwa untuk menujuNya. Tanpa bekalan pasti kita rugi disana. Bertaqwalah dengan sebenar-benar taqwa sebelum kita kembali kepadaNya. Bukankah Sayyidina Abu Bakar r.a pernah berkata:

"من دخل القبر بلا زاد فكأنما ركب البحر بلا سفينة"

Mafhumnya:

"Barangsiapa masuk kubur tanpa bekalan (taqwa) seolah-olah ia mengharungi lautan tanpa bahtera."

Didalam meniti jambatan taqarrub kepadaNya, hanya taqwalah yang menjadi ukuran nilai seseorang hamba itu disisi Khaliqnya. Bahkan ia adalah matlamat utama didalam kehidupan seseorang hamba yang menyelami dengan sebenar-benar hakikat kehambaannya. Ia seumpama buah manis yamg terhasil dari pohon-pohon syariat setelah dibajai secukupnya dengan baja mujahadah. Oleh itu, bertaqwalah dengan sebenar-benarnya agar kita benar-benar dapat menyelami hakikat kehambaan disisiNya Yang Maha Sempurna.

Penulis (Us Rashidi Jamil) berdoa agar Allah Azza Wa Jalla sentiasa membimbing kita didalam melaksanakan ketaatan padaNya dan mudah-mudahan dengan bimbinganNya itu akan terpancarlah nur taqwa buat menyuluh perjalanan kita ke perkampungan akhirat yang lebih baik serta kekal abadi. Amin.

p/s: Sama2 kita sentiasa tingkatkan taqwa kita kepadaNya..

Tuesday, November 9, 2010

Lagi Hebat kan?

Assalamualaikum w.b.t

Sudah lama jari-jemari ini tidak 'berjalan' dalam berkongsi serta bertukar maklumat dengan
sahabat sekalian. Maaf, dek kerana kekangan masa serta faktor lain menyebabkan tanahina tidak dapat 'bertemu' dengan sahabat semua. Alhamdulillah, dikesempatan yang Allah kurniakan ini akan dimanfaatkan sebaik mungkin untuk tanahina nukilkan sesuatu disini.

Hari ini 9 November 2010 bersamaan 2 Zulhijjah 1431 H, tak disangka-sangka rupa-rupanya kita sudah sampai bulan terakhir dalam kalendar Hijriah. Sebagaimana maklum, dalam bulan Zulhijjah ini sudah pasti ramai umat Islam berbondong-bondong menuju ke Tanah Suci Haram untuk menunaikan rukun yang terakhir dalam Rukun Islam iaitu ibadah haji. Mereka sanggup menggadaikan harta yang dicintai, meninggalkan orang yang dicintai serta mengorbankan masa demi mencari cinta Allah ditempat yang Allah cintai. Disini,
tanahina bukan ingin menghuraikan tentang ibadah haji tetapi ingin berkongsi sesuatu sebagai tanbihul ghofilin(peringatan kepada orang-orang yg lalai).

Jika disoroti sirah Rasulullah S.A.W serta sejarah kehidupan para
sahabat,tabi'in seterusnya hingga ke para salafussoleh tidak dinafikan mereka mengutamakan, menyedari dan menyelami bahawa cinta kepada Allah itulah yang hakiki. Kerana apa? kerana mereka yakin cinta Allah itu kesan baiknya menyeluruh atau komprehensif.

Fenomena hari ini terlalu ramai manusia mengagung-agungkan cinta kepada makhluk berbanding cinta kepada Allah dalam keadaan mereka tidak sedar bahawa kesan baik cinta kepada Allah amat adil kerana semua mendapat manfaatnya. Sedangkan cinta kepada makhluk hanya beberapa pihak sahaja yang mendapat manfaatnya malah ada yang membenci pula serta menerima tempias buruk. Sebagai contoh, sepasang kekasih yang diulit cinta; ya pada hakikatnya mereka berdua merasai nikmat bahagia tetapi dalam masa yang sama ada sebahagian masyarakat membenci mereka. Dalam keadaan mereka enak diulit kebahagiaan tidak mustahil mereka akan terlanjur dan nama ibu ayah mereka tercalar, nah! tidak adil bukan??! Kita ambil contoh pasangan suami isteri pula, dalam mereka menikmati kebahagiaan alam rumah tangga ada juga yang dengki sehingga sanggup mensyirikkan Allah semata-mata ingin melihat pasangan suami isteri tersebut bercerai. Mari kita lihat kenapa cinta kepada Allah kesan baiknya lebih komprehensif dan adil:-


1- Diri sendiri

  • Bukankah didalam Al-Quran Allah ada menyatakan jangan terlibat dalam kebinasaan sebagaimana mafhum Firman Allah S.W.T "...janganlah kamu menjerumuskan diri ke dalam kebinasaan.." Al-Baqarah:195. Tidakkah ayat ini memberi manfaat yang begitu banyak kepada diri sendiri?
  • Bukankah didalam Al-Quran mahupun Hadis menyatakan pelbagai amalan demi manfaat diri sendiri?
2- Keluarga

  • Bukankah dalam Al-Quran Allah memerintah mentaati kepada kedua orang tuanya? Sebagaimana mafhum firmanNya "Dan (sebaliknya amatlah derhakanya) orang yang berkata kepada kedua ibu bapanya (ketika mereka mengajaknya beriman): Ah! Bosan perasaanku terhadap kamu berdua!.." Al-Ahqaf : 17.
  • Didalam Al-Quran dan Hadis ada menyatakan tentang mahar kepada isteri. Tidakkah ini memberi manfaat kepada si isteri? Begitu juga dengan suami, dalam wahyu (Al-Quran@Hadis) menuntut isteri mentaati kepada si suami.
  • Bukankah didalam wahyu ada menuntut ibu bapa mendidik anak-anak dengan sempurna. Tidakkah ini memberi manfaat kepada anak-anak tersebut.
3- Masyarakat

  • Jika kita membaca Al-Quran kita akan dapati banyak perintah dariNya menuntut kita mengeluarkan zakat. Sudah tentu ini memberi keadilan kepada orang-orang yang dalam kesusahan seperti orang fakir miskin.
  • Allah amat melarang keras sekali terhadap segala bentuk riba samada tercatat didalam Kitab Mulia mahupun Hadis. Ini sudah pasti dan mesti memberi kesan yang baik kepada ekonomi dalam sesebuah masyarakat kerana ada pihak yang untung dan tiada seorang pun akan tertindas. Adil bukan?
  • Allah ada menuntut pemimpin berlaku adil kepada rakyatnya seperti mafhum firmanNya "..Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan." Al-Maidah:8. Begitu juga sebaliknya, rakyat juga diminta taat kepada pemimpin sebagaimana mafhum firmanNya "Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu..."An-Nisa':59. Tidakkah ini memberi manfaat kepada semua pihak?
Contoh-contoh yang tanahina bawakan adalah sekelumit daripada wahyu (Al-Quran atau Hadis) sebagai gambaran bahawa dengan cinta kepada Allah kesannya dapat dirasai oleh semua manusia mahupun sekalian makhluk. Justeru itu, tanahina seru kepada sahabat sama-sama rebut cinta Allah dengan mentaatinya kerana itulah cinta kita yang SATU! Begitu hebat kan penangan cinta Allah?!

Wallahu A'lam..


p/s: Maaf jika bahasa dalam entri kali ini kurang menarik, dah lama tak menulis. Sebarang komen&pandangan positif amat dialu2kan..

Monday, September 13, 2010

Buktinya..

Berikut adalah teks khutbah seusai Solat Aidilfitri di Masjid Al-Firdaus, isinya menarik perhatian tanahina. Terimalah..

الله أكبر، الله أكبر، الله أكبر، الله أكبر، الله أكبر، الله أكبر، الله أكبر، الله أكبر، الله أكبر ولله الحمد

الحمد لله وحده صدق وعده ونصر عبده وأعزّ جنده وهزم الأحزاب وحده أشهد أن لا إله إلا الله وحده لا شريك له له الملك وله الحمد وهو على كل شيئ قدير وأشهد أنّ محمدا عبده ورسوله اللهم صلّ وسلّم وبارك على سيّدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين

أماّ بعد، فيا عباد الله! أوصيكم وإياّي بتقوى الله فقد فاز المتقون. قل الله تعالى: يا أيّها الذين ءامنوأ اتقوا الله حق تقاته ولا تموتن إلا وأنتم مسلمون

الله أكبر، الله أكبر، الله أكبر ولله الحمد


Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah,

Marilah kita tingjatkan ketaqwaan kita kepada Allah S.W.T. dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala suruhanNya dan meninggalkan segala laranganNya dan tidak mati melainkan didalam Islam.

Hari ini seluruh umat islam didunia meraikan 'Idulfitri. Mereka menyatakan kesyukuran dengan bertasbih, bertahmid memuji Allah dan bertakbir menagungkanNya sebagai tanda kegembiraan kerana berjaya memerangi nafsu dan pengaruh syaitan sepanjang bulan Ramadhan. Nafsu adalah musuh utama dan paling besar terhadap manusia. Mereka yang berjaya mengalahkan pengaruh nafsu dan syaitan itulah orang yang bertaqwa kepada Allah.

Allah S.W.T. telah berfirman didalm surah Al-Baqarah ayat 183:(hanya menyatakan maksud)

"Wahai orang-orang yang beriman!, kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang0orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa".

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil hamd,

Muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah,

BUKTI TAQWA YANG LAHIR DARI KESAN RAMADHAN ITU BERADA DALAM DIRI KITA:


1.KITA AKAN SENTIASA BERSEMANGAT UNTUK MENUNAIKAN PERINTAH ALLAH DENGAN IKHLAS.

2. KITA AKAN TERUS MERASA BIMBAG JIKA KETINGGALAN UNTUK MENGERJAKAN PERINTAH ALLAH.

3. KITA AKAN SENTIASA MENJAGA DIRI DARIPADA MELAKUKAN PERKARA YANG DILARANG OLEH ALLAH S.W.T.

4. KITA AKAN TERUS MENJADIKAN AL-QURAN SEBAGAI PETUNJUK KE JALAN YANG BENAR, DIHAYATI DAN DIAMALKAN DALAM KEHIDUPAN.

5. KITA AKAN MERASA PERUBAHAN PADA DIRI KE ARAH YANG LEBIH BAIK, LEBIH BERINTEGRITI, TELUS DAN BERKEPERIBADIAN SOLEH.

Ini adalah kerana Al Quran yang diturunkan di bulan Ramadhan itu, berautoriti menjadi petunjuk untuk mebimbing manusia ke jalan yang benar, berautoriti menjadikan seseorang muslim itu mampu memikul amanah, bertanggungjawab dan melaksanakannya dengan baik. Kesannya kita akan menjadi orang yang ceria dan bahagia dengan nur hidayah Allah S.W.T. Maka wajarlah hari ini, kita semua bergembira dengan bertakbir, bertasbih dah bertahmid sebagai tanda syukur kita menjalani hambaNya yang bertaqwa.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil hamd,

Sidang hadirin yang dimuliakan Allah,

'Idulfitri merupakan syiar kemenangan umat Islam dalam memerangi kehendak nafsu dan pengaruh syaitan. Ketika Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

"Kita telah kembali daripada medan perang melakukan jihad yang kecil dan akan menghadapai medan perang melaksanakan jihad yang lebih besar. Para sahabat bertanya; Apakah ada lagi jihad yang lebih besar daripada itu Ya Rasulullah? Baginda menjawab; jihad melawan hawa nafsu".

Riwayat Ad-Dailami

Ini menunjukkan memerangi nafsu jahat tidak ada batas berhenti atau rehat, walaupun penat dan letih sekembalinya dari peperangan. Penat dan letih berperang menentang kuffar tidak sebesar dan sehebat memerangi hawa nafsu yang melampaui batas. Kedatangan kitab Al Quran di bulan Ramadhan serta Lailatul Qadr yang Allah anugerahkan kepada kita, sewajarnya telah membawa perubahan secara besar-besaran bagi mengukuhkan lagi iman dan amalan kita sebagai seorang muslim.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil hamd,

Muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah,

Saban tahun, selepas kita berpuasa Ramadhan dan membayar zakat fitrah, kita menyambut 'Idulfitri, kita menunaikan solat sunat 'Idulfitri, bertakbir membesarkan Allah dan mengagungkanNya. Maka nama Allah begitu agung bermain-main dibibir kita. Tetapi AGUNGKAH ALLAH DALAM KEHIDUPAN KITA? AGUNGKAH ALLAH DALAM MAKAN MINUM KITA? AGUNGKAH ALLAH DALAM HARTA YANG KITA MILIKI? AGUNGKAH ALLAH DALAM GELARAN DAN PANGKAT KEBESARAN KITA?

AGUNGKAH ALLAH DALAM PERJUANGAN HIDUP KITA? AGUNGKAH ALLAH DALAM BILIK-BILIK PEJABAT KITA? AGUNGKAH ALLAH DALAM ORGANISASI YANG KITA BERTUNGKUS LUMUS KERANANYA? AGUNGKAH ALLAH DALAM NEGERI DAN NEGARA KITA YANG KITA PERTAHANKAN BERMATI-MATIAN?. Jangan sampai yang kita agung-agungkan itu, hanya sekadar mengagungkan nafsu yang kita kuburkan dibulan Ramadhan, kemudian kita suburkannya semula selepas Ramadhan.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil hamd,

Sidang hadirin yang dirahmati Allah,

Sebagai umat islam yang mahu kepada perubahan sebenar, bengkel Ramadhan banyak membantu kita mencapai taraf manusia bersopan santun dan berhati murni. Ibnu 'Athaillah dalam kitabnya "Al-Hikam" menyatakan: "Bahawa pengaruh nafsu 'haiwaniyah' didalam hati tidak akan dapat dibersihkan, kecuali dengan adanya dua perkara didalam hatinya":

1. Seseorang itu mestilah merasa takut dan gerun terhadap Allah S.W.T.

2. Seseorang itu mestilah merasa kasih dan rindu kepada Allah S.W.T.

Kenapa nafsu haiwaniyyah menjadi musuh utama? Kenapa nafsu itu sentiasa terdorong untul melakukan apa sahaja yang dilarang Allah? Sesungguhnya nafsu itu sentiasa tidak mahu dan enggan menurut apa sahaja yang Allah perintahkan. Suruhan Allah walaupun mudah tetapi nafsu tidak mahu, nafsu terasa terlalu payah. Sebaliknya apa sahaja larangan Allah walaupun susah dan terlalu payah, namun nafsu haiwaniyyah itu tetap merasa mudah, ringan dan mahu melakuknnya. Allah S.W.T berfirman dal surah Yusuf ayat 53: (hanya menyatakan maksud)

"Dan aku tidaklah berani mengaku diriku suci (daripada dosa), kerana sesungguhnya nafsu itu selalu menyuruh melakukan kejahatan, kecuali nafsu (oarng) yang telah diberi rahmat oleh Tuhanku. Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun lagi Maha Penyayang".

Imam Ghazali Rahimahullah menjelaskan;

Antara sifat-sifat jahat itu ialah sifat-sifat syaitaniyyah seperti riak, takabbur, sombong, ujub, iri hati, hasad dengki, suka dipuji, suka disanjung, tidak suka dicerca, bersikap degil, keras hati dan bersikap kasar dan sebagainya. Sifat-sifat syaitaniyyah itu juga akan melahirkan sifat-sifat haiwaniyyah seperti banyak makan dan minum, suka duduk berehat dan banyak tidur, gemarkan keseronokan seks, tidak mengenal halal haram dan sebagainya. Maka lahirlah sika tamak haloba dan mementingkan diri sendiri.

Kita mengharapkan bahawa sifatsifat haiwaniyyah tersebut telah terkubur dihapuskan oleh ibadah yang telah kita lakukan sepanjang bulan Ramadhan yang lalu. Sifat-sifat syaitaniyyah dan haiwaniyyah itu telah ahngus terbakar dengan puasa, terawih, tilawah Al Quran, wirid dan solat tahajjud disepanjang bulan Ramadhan. Kita mesti memperoleh kejayaan jika usaha gigih itu disambung dengan berpuasa enam hari selepasa 'Idulfitri ini. Sabda Rasulullah s.a.w daripada Abi Ayub Al-Ansori r.a:(hanya menyatakan maksud)

"Sesiapa berpuasa Ramadhan, kemudia diikuti puasa enam hari di bulan Syawal, maka dia seperti berpuasa sepanjang tahun".

Dihari 'Idulfitri ini, wajarlah kita meraikan kejayaan ini dengan takbir, tahmid dan tahlil mengagungjan Allah sepanjang hayat dan zaman. Bermaaf-maafan sesama kita, ziarah-menziarahi menghubungkan silaturrahim.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil hamd,

(Teks khutbah ini terlalu panjang, cukup sekadar ini dengan isi-isi penting dalam teks khutbah ini. Sama-sama tanahina dan sahabat hayati dan amalkan isi kandungan teks khutbah ini)

Wallahu A'lam..

Tuesday, September 7, 2010

Tunjuk Perasaan


Assalamualaikum w.b.t

Hampir sebulan lebih tanahina tidak 'upload' entry terbaru untuk dikongsi bersama sahabat sekalian dek kerana beberapa halangan yg tanahina tidak dapat diceritakan disini. Alhamdulillah, pada hari ini 7 September 2010 bersamaan 28 Ramadhan 1431 H Dia memberi peluang kepada tanahina untuk menukilkan satu makalah sebagai perkongsian bersama sahabat.

Pejam celik pejam celik, tup tup tidak disangka bulan yang paling mulia ini hampir berada di garisan penamat. Tanahina terfikir adakah Ramadhan sahaja yang akan sampai digarisan penamat? Bagaimana dengan ibadah puasa kita, adakah ianya tiada garisan penamat? Cuba kita renung pada mafhum kalam Allah Yang Maha Suci ini " Wahai orang-orang yang beriman! kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang terdahulu sebelum kamu, supaya kamu bertaqwa" [Al-Baqarah:183]. Disini Allah S.W.T telah nyatakan dengan jelas bahawa natijah akhir daripada puasa adalah TAQWA. Sekadar analogi, seseorang yang memenangi hadiah utama didalam pertandingan perlumbaan larian, terpaksa menghadapi pelbagai liku-liku sepanjang laluan perlumbaan dan merasa letih dan dahaga sebelum melepasi garisan penamat kemudian merangkul pingat emas serta wang yang ditawarkan. Begitu juga dengan ibadah puasa, kita terpaksa berlapar dan dahaga, menghadapi segala dugaan dan cabaran sepanjang 'laluan' selama 30 hari sebelum memenangi 'hadiah' lumayan yang Allah tawarkan iaitu TAQWA.

Taqwa yang Allah tawarkan merupakan 'hadiah' yang lebih mahal dari pingat emas. Justeru, dengan Ramadhan berbaki 2 hari lagi mari kita sama-sama lihat serta muhasabah sedalam-dalamnya adakah puasa kita layak menerima 'hadiah' tersebut?!. Dalam kita sibuk membuat persiapan lebaran, dalam kita tidak sabar nanti saat hari lebaran, ada perkara yang tanahina kira ramai yang melakukannya. Tidak mustahil, dalam sesuatu pertandingan kemenangan seseorang pemenang boleh dibatalkan walaupun selepas dia ditabalkan sebagai pemenang; inilah pemenang yang begitu celaka. Begitu juga dengan puasa kita, jangan sampai setelah kita sampai 'digarisan penamat' pada hari yang ke 30, 'hadiah' taqwa yang selayaknya kita terima tapi ditarik balik setelah melangkah ke 1 Syawal; amat sia-sia sekali perlumbaan yang telah kita harungi selama 30 hari. Ibarat penunjuk perasaan, apabila tiba saat ketika jiwa dan minda tidak dapat dikawal lagi lalu kemarahan, kegeraman dan sebagainya dilepaskan. Jangan kita jadi seperti penunjuk perasaan, bila tiba 1 Syawal kita tidak boleh mengawal nafsu makan, bergaul serta bersalaman dengan bukan muhrim, membuka aurat dan sebagainya seolah-olah bulan Syawal ini bulan untuk kita memberontak dek kerana 30hari sebelum itu kita terpaksa kawal nafsu makan, terpaksa kawal pergaulan dan ada juga yang menutup aurat. Amat celakalah kita, jangan kita salahkan Tuhan jika 'hadiah' taqwa yang baru sahaja kita dapat ditarik semula olehNya!.

Ingat! taqwa itu hanya diberikan kepada umat yang SATU yang diterima dari Tuhan yang SATU. Taqwa itu tiada tarikh luput dan laku sepanjang masa. Sewajarnya, kita menjadi insan bertaqwa sepanjang waktu bukannya menjadi insan bertaqwa yang 'luput' tarikhnya setelah 30 hari.

Wallahu A'lam...

p/s: Dikesempatan ini, tanahina ingin memohon maaf kepada sahabat andai ada makalah yang ditulis mengguris hati sahabat..Selamat Hari Raya, ingat! jadilah insan bertaqwa pada 1 Syawal.

Monday, July 26, 2010

'SIHIR' Solat..??















Asslamualaikum w.b.t..


Seringkali manusia kaitkan sihir dengan perbuatan atau kejadian luar biasa yang berlaku, dan sihir juga sering dikaitkan dengan kejahatan. Manakala, takrif atau definisi solat didalam Kamus Pelajar edisi kedua terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka pula merujuk kepada ibadat yang terdiri daripada niat, beberapa perbuatan dan bacaan yg dimulakan dgn takbiratulihram dan disudahi dgn salam. Namun, apa kaitan sihir dan solat? Persoalan ini mungkin bermain diminda sahabat. Pada makalah kali ini, Tanahina ingin menyajikan satu kisah ringkas kepada sahabat sekalian.


Pada zaman pemerintahan Khalifah Umar Al-Khatab, ada seorang hamba Allah lelaki yang belum berkahwin. Biasanya seorang lelaki bujang pasti ingin mencari anak dara untuk dijadikan 'bidadari' didalam hidupnya, paling tidak pun seorang wanita janda dijadikan sebagai isteri namun, hamba Allah ini mempunyai 'penyakit' pelik! Dia minat pada isteri orang! (ingatkan pada zaman ini sahaja berlaku rupanya telah berlaku dizaman khalifah Umar). Ah, ini sudah dikira kes parah atau kronik.



Hamba Allah ini sudah lama berkenan pada isteri seorang hamba Allah. Hampir setiap hari dia cuba mencuri pandang pada isteri hamba Allah tersebut. Keinginannya ini bukan satu mainan tetapi keiginan yang realiti. Pada suatu hari, hamba Allah tersebut bertekad untuk meluahkan segala perasaannya pada wanita tersebut. Dia cuba mencari peluang untuk mendekati wanita tersebut kerana wanita tersebut sering mendampingi suaminya. Akhirnya dia mendapat peluang mendekati wanita tersebut lalu dia berterus terang "Aku ingin menjadikan kamu isteriku", wanita itu menjawab "Boleh,tapi ada syarat!". Lelaki itu bertanya "apakah syaratnya?", wanita itu berkata "Kamu mesti solat dibelakang Umar selama 40 hari" lalu lelaki tersebut menerimanya (mungkin wanita itu menyangka dengan syarat tersebut lelaki itu tidak dapat meneruskan hasratnya). Bermula saat itu, lelaki tersebut menunaikan syarat tersebut.



Diringkaskan cerita, berlalulah 10 hari, 20 hari, 30 hari dan seterusnya 40 hari. Wanita itu mengetahui lelaki itu berjaya menunaikan syarat yang telah ditetapkan pada lelaki tersebut. Wanita itu menunggu lelaki tersebut kerana baginya janji mesti ditunaikan. Tetapi setelah menunggu lama, lelaki itu tidak muncul-muncul dihadapannya, kali ini dia mengambil keputusan mencari lelaki tersebut kerana padanya janji adalah janji. Setelah puas mencari, dia menjumpai lelaki tersebut seraya berkata "Bukankah kamu yang ingin menjadikan isterimu? Sekarang kamu boleh memiliki aku" tapi lelaki tersebut diam. Wanita itu mengulangi lagi "Bukankah kamu yang ingin menjadikan isterimu? Sekarang kamu boleh memiliki aku" tapi wanita itu dimarahi pula oleh lelaki tersebut "Kamu tidak tahukah perbuatan tersebut adalah dilarang(mengahwini isteri orang)?!, pergi kamu dari sini!"



Nah, agaknya apa yang sahabat dapat dari kisah tersebut? Pasti sahabat hairan, wanita tersebut ingin menunaikan janji tetapi dimarahi dan dihalau pula lelaki tersebut. Inilah yang tanahina ingin sorotkan kepada sahabat sekalian. Ajaib bukan? nafsu jahat yang wujud didalam jiwa lelaki tersebut telah dihilangkan oleh solat! Solat tersebut telah 'menyihir' nafsu lelaki itu kepada jiwa yang baik.



Tanahina kira tanahina tidak perlu hurai apa pengajaran yang boleh digarap dari kisah tersebut kerana tanahina yakin sahabat amat bijak untuk menggarap tauladan dari kisah tersebut. Jagalah solat kerana solat adalah manifestasi bahawa kita ini lahir, kita ini hidup dan kita ini mati pada yang SATU!



Wallahu A'lam..


p/s: Tanahina bukan ingin menghakitkan solat itu adalah sihir tetapi hanya sebagai kiasan sahaja. Segala komen&pandangan dari sahabat amat diperlukan..








Monday, May 31, 2010

Peminjam yang SETIA atau KHIANAT?


Assalamualaikum w.b.t

Seringkali manusia apabila berkata tentang pinjam, yang terlintas dikotak fikiran kita adalah wang ataupun segala hartabenda yang boleh diberi pinjam dan dipinjam dari 2 pihak ataupun lebih. Namun Tanahina ingin lari sedikit dari apa yang selalu manusia fikirkan berkenaan dengan pinjaman. Pinjam bermaksud memberi sesuatu untuk digunakan buat sementara (Kamus Dewan Edisi Ketiga m/s 1040) manakala peminjam pula bermaksud orang yang meminjam (Kamus Dewan Edisi Ketiga m/s 1040). Sekarang mari bandingkan 2 kisah amat ringkas berikut:

Kisah 1

Ali seorang miskin hidup disebuah kampung, hidupnya amat daif. Pakaiannya compang camping, dia sering berpindah 'tempat tinggal' kerana tidak mempunyai rumah tapi peribadinya sangat disenangi oleh orang kampung. Satu hari, dia amat lapar namun dia tidak mempunyai wang untuk membeli makanan. Setelah puas berfikir utk menyelesaikan masalah laparnya itu dia telah membuat keputusan drastik iaitu meminjam sedikit wang dari orang kampung untuk membeli makanan. Lalu dia mencari orang kampung yang boleh meminjamkan duit kepadanya tetapi dia hampa kerana ramai yang tidak dapat membantunya kecuali seorang, Ali terus berjumpa orang tersebut dan Ali sangat gembira kerana akhirnya dia dapat meminjam duit untuk membeli makanan namun orang tersebut mengingatkan Ali supaya membayar wang tersebut dalam masa 3 bulan. Bermula saat itu, Ali berusaha keras & rajin mencari rezeki utk menyelesaikan hutangnya. Berlalulah 3 bulan, Ali pun membayar hutang tersebut, orang yang beri pinjam tersebut amat gembira kerana Ali menepati janji.

Kisah 2

Jamal juga seperti Ali miskin dan hidupnya daif. Pakainnya juga compang camping seperti Ali. Dia juga sering berpindah 'tempat tinggal'. Dia juga mempunyai masalah seperti Ali iaitu lapar. Dia pun berusaha menyelesaikan masalah laparnya tersebut. Jamal dapat mengetahui ada seorang yang dapat menyelesaikan masalahnya lalu terus berjumpa orang tersebut utk meminjam wang. Setelah berjumpa, orang tersebut juga mengingatkan Jamal melangsaikan hutang dalam masa 3 bulan, Jamal pun berjanji akan membayar wang tersebut dalam masa 3 bulan. Semasa dlm perjalanan mencari makanan Jamal ternampak ada sekumpulan orang sedang berjudi lalu dia terfikir "kalau aku gunakan wang ini utk membeli makanan maka wang ini akan habis begitu sahaja, lebih baik aku berjudi kot2 nasib baik aku akan jadi kaya. Kalau dah kaya, bukan setakat boleh beli makanan, apa saja aku boleh beli". Jamal pun berjudi & nasib menyebelahinya dia menang besar dalam pertaruhan judi. Bermula saat itu, Jamal menggunakan wang hasil kemenangan permainan jadi tersebut untuk buat apa sahaja yang dia suka, Jamal berzina, meminum arak, membuat perniagaan haram. Berlalulah 3 bulan, orang yang telah meminjamkan duitnya kpd Jamal menanti2 akan janji Jamal namun batang hidung Jamal tidak muncul, janji hanya tinggal janji.

Berdasarkan 2 kisah ringkas diatas, cuba sahabat menilai siapakah peminjam yang setia? dan siapa peminjam yang khianat? Ali atau Jamal? Tanahina yakin sahabat akan mengatakan Ali peminjam yang setia dan Jamal peminjam yang khianat. Namun persoalan besar yang ingin Tanahina tanya kepada sahabat, apa yang boleh dikaitkan daripada 2 kisah tersebut dengan kehidupan harian kita?

Allah S.W.T ada berfirman dalam KitabNya yang mulia mafhumnya "Segala puji bagi Tuhan sekalian alam" Al Fatihah:2. Nampak seperti ringkas sahaja maksud ayat tersebut tapi maknanya amat besar sekali iaitu menunjukkan bahawa segala-segalanya dialam ini adalah milik mutlak Dia tidak kira yang zahir mahupun batin. Makanan, minuman, harta hatta nafas dan nyawa yang kita kandungkan ini juga milik mutlak Allah S.W.T! Lalu, siapakah yang pinjam segala milik mutlak Allah ini?? Sudah tentu sahabat semua akan menjawab "Manusia!". Bermula saat kita mencelikkan mata dari tidur yang lena, kita berjalan, kita berfikir, kita berpakaian, kita makan, dan segala bentuk rutin harian kita adalah nikmat-nikmat yang kita nikmati demi melengkapkan rutin harian tersebut adalah milik mutlak Allah S.W.T!

Kisah Ali dan Jamal tadi bukan sekadar kisah sahaja walaupun 2 kisah tersebut amat ringkas namun ia berkaitan dengan kehidupan kita. Ali dan Jamal itu adalah 'watak' sebenar kita didunia ini, ya semua manusia miskin dan daif didunia ini kerana hakikatnya manusia tidak mempunyai apa-apa langsung untuk hidup didunia ini. Ali & Jamal juga tinggal dikampung dan 'kampung' itu bermaksud dunia yang kita tinggal sekarang. Ali & Jamal juga sering berpindah kerana tidak mempunyai tempat tinggal tetap, begitu juga dengan kita. Perpindahan kita juga bermula dengan alam roh kemudian alam rahim kemudian alam dunia seterusnya alam barzakh dan penamatnya di alam akhirat. Jadi dari hikmah-hikmah daripada 2 kisah tersebut, manakah'watak' sebenar kita didunia ini? Adakah kita peminjam yang setia seperti Ali? atau seperti peminjam yang khianat seperti Jamal?

Kesimpulannya, Tanahina dan sahabat semua wajib sedar sentiasa bahawa setiap saat yang kita nikmati adalah pinjaman daripada Allah S.W.T kerana setiap nikmat yang tidak terkira itu datang dari sumber yang SATU. Ingat! misi,visi dan matlamat kita hidup didunia ini bermula saat kita dilahirkan, kita hidup & kita mati pada SATU.

Wallahu A'lam...

p/s: 2 kisah diatas tidak ada kaitan dengan sifat mahupun zat Allah S.W.T, ia sekadar analogi perbandingan dan bukanlah hakihat dengan sifat & zat Allah. Komen, pandangan dsb dari sahabat amat diperlukan utk makalah yg hina ini..tq

Saturday, May 8, 2010

Muda = Tua ??


Assalamualaikum w.b.t...


"Selamat Hari Jadi" atau "Happy Birthday to you" antara ucapan-ucapan yg kita terima atau dengar dari rakan, keluarga serta kenalan tatkala umur kita menginjak lalu hati kita 'terlonjak-lonjak' gembira seterusnya terkesan kepada akal dan juga fizikal kita turut 'terlonjak-lonjak' gembira kerana apa?? Sudah tentu dek kerana umur kita yg baru menginjak kepada angka yang baru itu. Inilah fenomena yang biasa kita lihat pada mu'dzom atau majoriti makhluk yang bernama manusia. Namun fenomena inilah yang menjadi kehairanan kepada Tanahina kerana pada hemat Tanahina fenomena yang biasa pada mata kita inilah yang membuatkan manusia selalu lupa pada 'kawan karib' manusia itu...Pasti sahabat semua terfikir-fikir "apelah yg Tanahina cuba nk cakapkan ini?!" atau "Tanahina ni nak mengarut ape pulak ni?!". nanti dulu, jangan cepat buat andaian..

Tanahina rasa pelik dan kadang-kadang jelik terhadap sambutan yang disambut kebanyakan manusia apabila umurnya meningkat. Disambut dengan ucapan-ucapan, kek harijadi, hadiah-hadiah antara perkara 'wajib' ada dalam sambutan harijadi seseorang tidak kira kanak-kanak yang belum mengerti sepenuhnya erti sebenar hidup didunia ini mahupun yang sudah TUA yang 'terlebih' mengerti erti sebenar hidup didunia fana ini. Kadang-kadang yang sudah TUA ini pula yang berlebih-lebih sambutan harijadinya berbanding kanak-kanak! Ada yang lebih 'ekstrem', keknya penuh dengan lilin berbanding isi kek tersebut yang membawa maksud atau memberi isyarat kepada umur yang baru dicapai. Inilah yang membuatkan Tanahina rasa hairan dengan manusia yang beriya2 gembira dengan sambutan harijadinya, sudahlah 'ekstrem' begitu ditambah pula dengan hiburan yang mengarut serta pembaziran yang tidak sepatutnya berlaku. Tidak sedarkah kita bahawa semakin menginjak umur kita semakin 'karib' kita dengan 'kawan karib' kita tersebut!!

Tanahina yakin ada sebahagian sahabat faham makna 'kawan karib' itu. Namun, Tanahina yakin ada juga sahabat yang tidak mengerti makna 'kawan karib'. 'Kawan karib' kita yang sedikit pun tidak pernah renggang dengan kita itu adalah MATI! Inilah 'kawan karib' kita yang paling setia dengan kita. Sedarlah kita semua bahawa setiap saat yang berlalu bermula dari kita bangun tidur membuatkan kita semakin TUA walaupun umur kita MUDA. Apabila kita semakin TUA semakin hampirlah kita dengan MATI dan kita perlu pegang dengan kuat sekali MATI itu PASTI sebagaimana Firman Allah dalam KitabNya yg mulia mafhumnya "Setiap yang bernyawa itu pasti MATI..." dan mengertilah serta ingatlah 'kawan karib' kita itu tidak akan lambat sedetik mahupun cepat sedetik!

Sebagai penutup kalam, akronim dari perkataan M.A.T.I boleh membawa makna Muda Adalah Tua, Insaflah! Jadi, daripada akronim ini Tanahina dan sahabat semua 'wajib' ubah cara hidup kita kerana kita Lahir, Hidup & Mati pada yang SATU, inilah misi, visi serta matlamat kita diciptakanNya bermula saat kita dilahirkan sehingga ke liang lahad.

Wallahu A'lam..

p/s:- maaf atas segala kekurangan dan kecacatan hasil tulisan pertama Tanahina ini, komen @ pandangan yang membina serta kritis terhadap makalah yang hina ini amat diperlukan..tq