Monday, May 31, 2010

Peminjam yang SETIA atau KHIANAT?


Assalamualaikum w.b.t

Seringkali manusia apabila berkata tentang pinjam, yang terlintas dikotak fikiran kita adalah wang ataupun segala hartabenda yang boleh diberi pinjam dan dipinjam dari 2 pihak ataupun lebih. Namun Tanahina ingin lari sedikit dari apa yang selalu manusia fikirkan berkenaan dengan pinjaman. Pinjam bermaksud memberi sesuatu untuk digunakan buat sementara (Kamus Dewan Edisi Ketiga m/s 1040) manakala peminjam pula bermaksud orang yang meminjam (Kamus Dewan Edisi Ketiga m/s 1040). Sekarang mari bandingkan 2 kisah amat ringkas berikut:

Kisah 1

Ali seorang miskin hidup disebuah kampung, hidupnya amat daif. Pakaiannya compang camping, dia sering berpindah 'tempat tinggal' kerana tidak mempunyai rumah tapi peribadinya sangat disenangi oleh orang kampung. Satu hari, dia amat lapar namun dia tidak mempunyai wang untuk membeli makanan. Setelah puas berfikir utk menyelesaikan masalah laparnya itu dia telah membuat keputusan drastik iaitu meminjam sedikit wang dari orang kampung untuk membeli makanan. Lalu dia mencari orang kampung yang boleh meminjamkan duit kepadanya tetapi dia hampa kerana ramai yang tidak dapat membantunya kecuali seorang, Ali terus berjumpa orang tersebut dan Ali sangat gembira kerana akhirnya dia dapat meminjam duit untuk membeli makanan namun orang tersebut mengingatkan Ali supaya membayar wang tersebut dalam masa 3 bulan. Bermula saat itu, Ali berusaha keras & rajin mencari rezeki utk menyelesaikan hutangnya. Berlalulah 3 bulan, Ali pun membayar hutang tersebut, orang yang beri pinjam tersebut amat gembira kerana Ali menepati janji.

Kisah 2

Jamal juga seperti Ali miskin dan hidupnya daif. Pakainnya juga compang camping seperti Ali. Dia juga sering berpindah 'tempat tinggal'. Dia juga mempunyai masalah seperti Ali iaitu lapar. Dia pun berusaha menyelesaikan masalah laparnya tersebut. Jamal dapat mengetahui ada seorang yang dapat menyelesaikan masalahnya lalu terus berjumpa orang tersebut utk meminjam wang. Setelah berjumpa, orang tersebut juga mengingatkan Jamal melangsaikan hutang dalam masa 3 bulan, Jamal pun berjanji akan membayar wang tersebut dalam masa 3 bulan. Semasa dlm perjalanan mencari makanan Jamal ternampak ada sekumpulan orang sedang berjudi lalu dia terfikir "kalau aku gunakan wang ini utk membeli makanan maka wang ini akan habis begitu sahaja, lebih baik aku berjudi kot2 nasib baik aku akan jadi kaya. Kalau dah kaya, bukan setakat boleh beli makanan, apa saja aku boleh beli". Jamal pun berjudi & nasib menyebelahinya dia menang besar dalam pertaruhan judi. Bermula saat itu, Jamal menggunakan wang hasil kemenangan permainan jadi tersebut untuk buat apa sahaja yang dia suka, Jamal berzina, meminum arak, membuat perniagaan haram. Berlalulah 3 bulan, orang yang telah meminjamkan duitnya kpd Jamal menanti2 akan janji Jamal namun batang hidung Jamal tidak muncul, janji hanya tinggal janji.

Berdasarkan 2 kisah ringkas diatas, cuba sahabat menilai siapakah peminjam yang setia? dan siapa peminjam yang khianat? Ali atau Jamal? Tanahina yakin sahabat akan mengatakan Ali peminjam yang setia dan Jamal peminjam yang khianat. Namun persoalan besar yang ingin Tanahina tanya kepada sahabat, apa yang boleh dikaitkan daripada 2 kisah tersebut dengan kehidupan harian kita?

Allah S.W.T ada berfirman dalam KitabNya yang mulia mafhumnya "Segala puji bagi Tuhan sekalian alam" Al Fatihah:2. Nampak seperti ringkas sahaja maksud ayat tersebut tapi maknanya amat besar sekali iaitu menunjukkan bahawa segala-segalanya dialam ini adalah milik mutlak Dia tidak kira yang zahir mahupun batin. Makanan, minuman, harta hatta nafas dan nyawa yang kita kandungkan ini juga milik mutlak Allah S.W.T! Lalu, siapakah yang pinjam segala milik mutlak Allah ini?? Sudah tentu sahabat semua akan menjawab "Manusia!". Bermula saat kita mencelikkan mata dari tidur yang lena, kita berjalan, kita berfikir, kita berpakaian, kita makan, dan segala bentuk rutin harian kita adalah nikmat-nikmat yang kita nikmati demi melengkapkan rutin harian tersebut adalah milik mutlak Allah S.W.T!

Kisah Ali dan Jamal tadi bukan sekadar kisah sahaja walaupun 2 kisah tersebut amat ringkas namun ia berkaitan dengan kehidupan kita. Ali dan Jamal itu adalah 'watak' sebenar kita didunia ini, ya semua manusia miskin dan daif didunia ini kerana hakikatnya manusia tidak mempunyai apa-apa langsung untuk hidup didunia ini. Ali & Jamal juga tinggal dikampung dan 'kampung' itu bermaksud dunia yang kita tinggal sekarang. Ali & Jamal juga sering berpindah kerana tidak mempunyai tempat tinggal tetap, begitu juga dengan kita. Perpindahan kita juga bermula dengan alam roh kemudian alam rahim kemudian alam dunia seterusnya alam barzakh dan penamatnya di alam akhirat. Jadi dari hikmah-hikmah daripada 2 kisah tersebut, manakah'watak' sebenar kita didunia ini? Adakah kita peminjam yang setia seperti Ali? atau seperti peminjam yang khianat seperti Jamal?

Kesimpulannya, Tanahina dan sahabat semua wajib sedar sentiasa bahawa setiap saat yang kita nikmati adalah pinjaman daripada Allah S.W.T kerana setiap nikmat yang tidak terkira itu datang dari sumber yang SATU. Ingat! misi,visi dan matlamat kita hidup didunia ini bermula saat kita dilahirkan, kita hidup & kita mati pada SATU.

Wallahu A'lam...

p/s: 2 kisah diatas tidak ada kaitan dengan sifat mahupun zat Allah S.W.T, ia sekadar analogi perbandingan dan bukanlah hakihat dengan sifat & zat Allah. Komen, pandangan dsb dari sahabat amat diperlukan utk makalah yg hina ini..tq

Saturday, May 8, 2010

Muda = Tua ??


Assalamualaikum w.b.t...


"Selamat Hari Jadi" atau "Happy Birthday to you" antara ucapan-ucapan yg kita terima atau dengar dari rakan, keluarga serta kenalan tatkala umur kita menginjak lalu hati kita 'terlonjak-lonjak' gembira seterusnya terkesan kepada akal dan juga fizikal kita turut 'terlonjak-lonjak' gembira kerana apa?? Sudah tentu dek kerana umur kita yg baru menginjak kepada angka yang baru itu. Inilah fenomena yang biasa kita lihat pada mu'dzom atau majoriti makhluk yang bernama manusia. Namun fenomena inilah yang menjadi kehairanan kepada Tanahina kerana pada hemat Tanahina fenomena yang biasa pada mata kita inilah yang membuatkan manusia selalu lupa pada 'kawan karib' manusia itu...Pasti sahabat semua terfikir-fikir "apelah yg Tanahina cuba nk cakapkan ini?!" atau "Tanahina ni nak mengarut ape pulak ni?!". nanti dulu, jangan cepat buat andaian..

Tanahina rasa pelik dan kadang-kadang jelik terhadap sambutan yang disambut kebanyakan manusia apabila umurnya meningkat. Disambut dengan ucapan-ucapan, kek harijadi, hadiah-hadiah antara perkara 'wajib' ada dalam sambutan harijadi seseorang tidak kira kanak-kanak yang belum mengerti sepenuhnya erti sebenar hidup didunia ini mahupun yang sudah TUA yang 'terlebih' mengerti erti sebenar hidup didunia fana ini. Kadang-kadang yang sudah TUA ini pula yang berlebih-lebih sambutan harijadinya berbanding kanak-kanak! Ada yang lebih 'ekstrem', keknya penuh dengan lilin berbanding isi kek tersebut yang membawa maksud atau memberi isyarat kepada umur yang baru dicapai. Inilah yang membuatkan Tanahina rasa hairan dengan manusia yang beriya2 gembira dengan sambutan harijadinya, sudahlah 'ekstrem' begitu ditambah pula dengan hiburan yang mengarut serta pembaziran yang tidak sepatutnya berlaku. Tidak sedarkah kita bahawa semakin menginjak umur kita semakin 'karib' kita dengan 'kawan karib' kita tersebut!!

Tanahina yakin ada sebahagian sahabat faham makna 'kawan karib' itu. Namun, Tanahina yakin ada juga sahabat yang tidak mengerti makna 'kawan karib'. 'Kawan karib' kita yang sedikit pun tidak pernah renggang dengan kita itu adalah MATI! Inilah 'kawan karib' kita yang paling setia dengan kita. Sedarlah kita semua bahawa setiap saat yang berlalu bermula dari kita bangun tidur membuatkan kita semakin TUA walaupun umur kita MUDA. Apabila kita semakin TUA semakin hampirlah kita dengan MATI dan kita perlu pegang dengan kuat sekali MATI itu PASTI sebagaimana Firman Allah dalam KitabNya yg mulia mafhumnya "Setiap yang bernyawa itu pasti MATI..." dan mengertilah serta ingatlah 'kawan karib' kita itu tidak akan lambat sedetik mahupun cepat sedetik!

Sebagai penutup kalam, akronim dari perkataan M.A.T.I boleh membawa makna Muda Adalah Tua, Insaflah! Jadi, daripada akronim ini Tanahina dan sahabat semua 'wajib' ubah cara hidup kita kerana kita Lahir, Hidup & Mati pada yang SATU, inilah misi, visi serta matlamat kita diciptakanNya bermula saat kita dilahirkan sehingga ke liang lahad.

Wallahu A'lam..

p/s:- maaf atas segala kekurangan dan kecacatan hasil tulisan pertama Tanahina ini, komen @ pandangan yang membina serta kritis terhadap makalah yang hina ini amat diperlukan..tq