Tuesday, September 7, 2010

Tunjuk Perasaan


Assalamualaikum w.b.t

Hampir sebulan lebih tanahina tidak 'upload' entry terbaru untuk dikongsi bersama sahabat sekalian dek kerana beberapa halangan yg tanahina tidak dapat diceritakan disini. Alhamdulillah, pada hari ini 7 September 2010 bersamaan 28 Ramadhan 1431 H Dia memberi peluang kepada tanahina untuk menukilkan satu makalah sebagai perkongsian bersama sahabat.

Pejam celik pejam celik, tup tup tidak disangka bulan yang paling mulia ini hampir berada di garisan penamat. Tanahina terfikir adakah Ramadhan sahaja yang akan sampai digarisan penamat? Bagaimana dengan ibadah puasa kita, adakah ianya tiada garisan penamat? Cuba kita renung pada mafhum kalam Allah Yang Maha Suci ini " Wahai orang-orang yang beriman! kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang terdahulu sebelum kamu, supaya kamu bertaqwa" [Al-Baqarah:183]. Disini Allah S.W.T telah nyatakan dengan jelas bahawa natijah akhir daripada puasa adalah TAQWA. Sekadar analogi, seseorang yang memenangi hadiah utama didalam pertandingan perlumbaan larian, terpaksa menghadapi pelbagai liku-liku sepanjang laluan perlumbaan dan merasa letih dan dahaga sebelum melepasi garisan penamat kemudian merangkul pingat emas serta wang yang ditawarkan. Begitu juga dengan ibadah puasa, kita terpaksa berlapar dan dahaga, menghadapi segala dugaan dan cabaran sepanjang 'laluan' selama 30 hari sebelum memenangi 'hadiah' lumayan yang Allah tawarkan iaitu TAQWA.

Taqwa yang Allah tawarkan merupakan 'hadiah' yang lebih mahal dari pingat emas. Justeru, dengan Ramadhan berbaki 2 hari lagi mari kita sama-sama lihat serta muhasabah sedalam-dalamnya adakah puasa kita layak menerima 'hadiah' tersebut?!. Dalam kita sibuk membuat persiapan lebaran, dalam kita tidak sabar nanti saat hari lebaran, ada perkara yang tanahina kira ramai yang melakukannya. Tidak mustahil, dalam sesuatu pertandingan kemenangan seseorang pemenang boleh dibatalkan walaupun selepas dia ditabalkan sebagai pemenang; inilah pemenang yang begitu celaka. Begitu juga dengan puasa kita, jangan sampai setelah kita sampai 'digarisan penamat' pada hari yang ke 30, 'hadiah' taqwa yang selayaknya kita terima tapi ditarik balik setelah melangkah ke 1 Syawal; amat sia-sia sekali perlumbaan yang telah kita harungi selama 30 hari. Ibarat penunjuk perasaan, apabila tiba saat ketika jiwa dan minda tidak dapat dikawal lagi lalu kemarahan, kegeraman dan sebagainya dilepaskan. Jangan kita jadi seperti penunjuk perasaan, bila tiba 1 Syawal kita tidak boleh mengawal nafsu makan, bergaul serta bersalaman dengan bukan muhrim, membuka aurat dan sebagainya seolah-olah bulan Syawal ini bulan untuk kita memberontak dek kerana 30hari sebelum itu kita terpaksa kawal nafsu makan, terpaksa kawal pergaulan dan ada juga yang menutup aurat. Amat celakalah kita, jangan kita salahkan Tuhan jika 'hadiah' taqwa yang baru sahaja kita dapat ditarik semula olehNya!.

Ingat! taqwa itu hanya diberikan kepada umat yang SATU yang diterima dari Tuhan yang SATU. Taqwa itu tiada tarikh luput dan laku sepanjang masa. Sewajarnya, kita menjadi insan bertaqwa sepanjang waktu bukannya menjadi insan bertaqwa yang 'luput' tarikhnya setelah 30 hari.

Wallahu A'lam...

p/s: Dikesempatan ini, tanahina ingin memohon maaf kepada sahabat andai ada makalah yang ditulis mengguris hati sahabat..Selamat Hari Raya, ingat! jadilah insan bertaqwa pada 1 Syawal.

No comments:

Post a Comment