Tuesday, November 9, 2010

Lagi Hebat kan?

Assalamualaikum w.b.t

Sudah lama jari-jemari ini tidak 'berjalan' dalam berkongsi serta bertukar maklumat dengan
sahabat sekalian. Maaf, dek kerana kekangan masa serta faktor lain menyebabkan tanahina tidak dapat 'bertemu' dengan sahabat semua. Alhamdulillah, dikesempatan yang Allah kurniakan ini akan dimanfaatkan sebaik mungkin untuk tanahina nukilkan sesuatu disini.

Hari ini 9 November 2010 bersamaan 2 Zulhijjah 1431 H, tak disangka-sangka rupa-rupanya kita sudah sampai bulan terakhir dalam kalendar Hijriah. Sebagaimana maklum, dalam bulan Zulhijjah ini sudah pasti ramai umat Islam berbondong-bondong menuju ke Tanah Suci Haram untuk menunaikan rukun yang terakhir dalam Rukun Islam iaitu ibadah haji. Mereka sanggup menggadaikan harta yang dicintai, meninggalkan orang yang dicintai serta mengorbankan masa demi mencari cinta Allah ditempat yang Allah cintai. Disini,
tanahina bukan ingin menghuraikan tentang ibadah haji tetapi ingin berkongsi sesuatu sebagai tanbihul ghofilin(peringatan kepada orang-orang yg lalai).

Jika disoroti sirah Rasulullah S.A.W serta sejarah kehidupan para
sahabat,tabi'in seterusnya hingga ke para salafussoleh tidak dinafikan mereka mengutamakan, menyedari dan menyelami bahawa cinta kepada Allah itulah yang hakiki. Kerana apa? kerana mereka yakin cinta Allah itu kesan baiknya menyeluruh atau komprehensif.

Fenomena hari ini terlalu ramai manusia mengagung-agungkan cinta kepada makhluk berbanding cinta kepada Allah dalam keadaan mereka tidak sedar bahawa kesan baik cinta kepada Allah amat adil kerana semua mendapat manfaatnya. Sedangkan cinta kepada makhluk hanya beberapa pihak sahaja yang mendapat manfaatnya malah ada yang membenci pula serta menerima tempias buruk. Sebagai contoh, sepasang kekasih yang diulit cinta; ya pada hakikatnya mereka berdua merasai nikmat bahagia tetapi dalam masa yang sama ada sebahagian masyarakat membenci mereka. Dalam keadaan mereka enak diulit kebahagiaan tidak mustahil mereka akan terlanjur dan nama ibu ayah mereka tercalar, nah! tidak adil bukan??! Kita ambil contoh pasangan suami isteri pula, dalam mereka menikmati kebahagiaan alam rumah tangga ada juga yang dengki sehingga sanggup mensyirikkan Allah semata-mata ingin melihat pasangan suami isteri tersebut bercerai. Mari kita lihat kenapa cinta kepada Allah kesan baiknya lebih komprehensif dan adil:-


1- Diri sendiri

  • Bukankah didalam Al-Quran Allah ada menyatakan jangan terlibat dalam kebinasaan sebagaimana mafhum Firman Allah S.W.T "...janganlah kamu menjerumuskan diri ke dalam kebinasaan.." Al-Baqarah:195. Tidakkah ayat ini memberi manfaat yang begitu banyak kepada diri sendiri?
  • Bukankah didalam Al-Quran mahupun Hadis menyatakan pelbagai amalan demi manfaat diri sendiri?
2- Keluarga

  • Bukankah dalam Al-Quran Allah memerintah mentaati kepada kedua orang tuanya? Sebagaimana mafhum firmanNya "Dan (sebaliknya amatlah derhakanya) orang yang berkata kepada kedua ibu bapanya (ketika mereka mengajaknya beriman): Ah! Bosan perasaanku terhadap kamu berdua!.." Al-Ahqaf : 17.
  • Didalam Al-Quran dan Hadis ada menyatakan tentang mahar kepada isteri. Tidakkah ini memberi manfaat kepada si isteri? Begitu juga dengan suami, dalam wahyu (Al-Quran@Hadis) menuntut isteri mentaati kepada si suami.
  • Bukankah didalam wahyu ada menuntut ibu bapa mendidik anak-anak dengan sempurna. Tidakkah ini memberi manfaat kepada anak-anak tersebut.
3- Masyarakat

  • Jika kita membaca Al-Quran kita akan dapati banyak perintah dariNya menuntut kita mengeluarkan zakat. Sudah tentu ini memberi keadilan kepada orang-orang yang dalam kesusahan seperti orang fakir miskin.
  • Allah amat melarang keras sekali terhadap segala bentuk riba samada tercatat didalam Kitab Mulia mahupun Hadis. Ini sudah pasti dan mesti memberi kesan yang baik kepada ekonomi dalam sesebuah masyarakat kerana ada pihak yang untung dan tiada seorang pun akan tertindas. Adil bukan?
  • Allah ada menuntut pemimpin berlaku adil kepada rakyatnya seperti mafhum firmanNya "..Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan." Al-Maidah:8. Begitu juga sebaliknya, rakyat juga diminta taat kepada pemimpin sebagaimana mafhum firmanNya "Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu..."An-Nisa':59. Tidakkah ini memberi manfaat kepada semua pihak?
Contoh-contoh yang tanahina bawakan adalah sekelumit daripada wahyu (Al-Quran atau Hadis) sebagai gambaran bahawa dengan cinta kepada Allah kesannya dapat dirasai oleh semua manusia mahupun sekalian makhluk. Justeru itu, tanahina seru kepada sahabat sama-sama rebut cinta Allah dengan mentaatinya kerana itulah cinta kita yang SATU! Begitu hebat kan penangan cinta Allah?!

Wallahu A'lam..


p/s: Maaf jika bahasa dalam entri kali ini kurang menarik, dah lama tak menulis. Sebarang komen&pandangan positif amat dialu2kan..

No comments:

Post a Comment