Thursday, May 19, 2011

Mari Mengenal T.A.Q.W.A


Assalamualaikum w.b.t

Apa khabar sahabat semua? Sudah 6 bulan blog ini 'berhabuk' kerana ditinggalkan oleh tuannya sendiri. Mungkin ada sahabat yang tertunggu-tunggu entri terbaru dan tidak mustahil ada sahabat yang ingat tanahina sudah kembali kepada Pencipta. Alhamdulillah tanahina masih diberikan ni'mat hidup olehNya dalam keadaan ISLAM dan IMAN cuma tanahina mengalami masalah kekangan masa dan ketandusan idea untuk menulis. Maklumlah, tanahina bukan penulis hebat seperti sahabat semua. Oklah, panjang pulak tanahina membebel ayuh kita kembali kepada tajuk diatas. Apabila mengenangkan ni'mat hidup dalam ISLAM dan IMAN yang dikurniakan olehNya, tidak dapat tidak pasti bersangkut paut dengan TAQWA. Seringkali kita mendengar kalimah keramat ini terutama lelaki yang mendengar setiap minggu. Namun, apakah itu TAQWA? adakah kita betul-betul mengerti erti TAQWA? dan yang paling penting adakah kita orang yang berTAQWA? Kali ini tanahina cuba ketengahkan perkara ini tetapi tanahina hanya menaqalkan atau menukilkan dari buku 'Mutiara Tasawuf Ibnu Athaillah' karangan Ustaz Rashidi Jamil Al-Rashid kerana siapalah tanahina untuk membincangkan perkara besar ini. Terimalah sahabatku..

Sabda Rasulullah S.A.W sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abu Sa'id r.a :

"عليك بالتقوى الله فإنه جماع كل خير وعليك بالجهاد فإنه رهبانية المسلم وعليك بذكر الله فإنه نور لك"

Mafhumnya:

"Wajib ke atasmu bertaqwa kepada Allah kerana taqwa merupakan himpunan segala kebaikan. Wajib ke atasmu tetap berjihad kerana jihad merupakan ibadah orang Islam dan wajib ke atasmu tetap dalam mengingati Allah kerana zikrullah itu merupakan cahaya bagimu."

(Hadis riwayat Ibnu Majah Al-Dharis)

Definisi Taqwa

Apakah maksud taqwa? Apakah taqwa itu merupakan sifat yang boleh dicari menerusi jalan menuntut ilmu semata-mata?

Sebenarnya para ulama' telah mendefinisikan taqwa dengan pelbagai ta'rifan. Namun dari segi bahasa taqwa membawa maksud takut dan memelihara. Manakala dari segi istilah pula penulis (Us Rashidi Jamil Al-Rashid) cuba menukilkan definisinya menerusi pandangan ulama Tasawuf antaranya:

Al-Nasr Abazi berkata: "Taqwa ialah seseorang yang memelihara dirinya daripada menyembah selain dari Allah SWT."

Abu Bakar Muhammad Al-Rauzabari berkata: "Taqwa ialah kamu menjauhkan diri dari perkara yang menjauhkan dirimu dari Allah."

Syeikh Ibnu Athaillah berkata: "Taqwa terbahagi kepada dua iaitu taqwa zahir dan taqwa batin. Taqwa zahir adalah menjaga batas syariat manakala taqwa batin pula ialah disertakan dengan niat dan ikhlas."

Ibnu bin Habib r.a berkata: "Taqwa ialah engkau menanti cahaya (petunjuk) daripadaNya demi mengharapkan pahala disisiNya. Serta engkau menjauhkan dirimu dari segala perbuatan maksiat menerusi petunjuk daripadaNya kerana menghindari serta takut akan seksaNya."

Inilah antara definisi Taqwa disisi ulama Tasawuf seperti yang dinukilkan oleh Imam al-Qusyairi didalam Risalah al-Qusyairiah.

Taqwa itu manis

Taqwa merupakan puncak segala penghasilan terhadap amalan kehambaan didalam mentaati Allah. Ia bukan semata-mata teori yang dipelajari tetapi taqwa terhasil menerusi ketaatan yang bersungguh-sungguh padaNya yang Maha Agung. Tidak kira sempurna taqwanya sekiranya ia masih menyerahkan sekalipun sekecil zarah bahaguan kehidupannya kepada Allah SWT.

Taqwa seumpamanya buah manis yang terhasil apabila pokok syariat itu dijaga dengan sebaiknya. Apabila seseorang itu dikurniakan taqwa menerusi jalan hidayahNya, maka terarahlah pandangan batinnya kepada akhirat bersifat hakikat. Ia akan mengambil dunia hanya sebagai peinjaman.

Al-Kattani pernah mengumpamakan taqwa sebagaimana berikut:

"Sesungguhnya dunia diciptakan hanya semata untuk manusia menerima cubaan (yang akan meningkatkan taqarrubnya kepada Allah) manakala alhirat diciptakan agar manusia bertaqwa (tunduk dan takut kepada Allah)."

Bahkan diriwayatkan bahawa Abu Hanifah tidak pernah duduk berteduh dibawah bayangan pohon dan tanaman yang dimiliki oleh orang yang mempunyai hutang dengannya. Ini adalah kerana ketaqwaan Abu Hanifah apabila mengingati hadis dari Baginda SAW yang menyebut:

"كل قرض جر نفعا فهو ربا"

Mafhumnya:

"Setiap hutang yang mendapat keuntungan adalah riba."

Subhanallah! Dengan ketaqwaannya Abu Hanifah menganggap bahawa berteduh dengan mengambil manfaat dari lindungan pokok orang yang masih berhutang dengannya adalah dianggap riba. Inilah kesempurnaan taqwa yang terhasil apabila hati sentiasa berhubung dengan Allah SWT.

Benarlah kata al-A'masyi r.a:

"من كان رأس ماله التقوى كلت الالسن عن وصف ربح دينه ومن كان رأس ماله الدنيا كلت الالسن عن وصف خسران دينه"

Mafhumnya:

"Barangsiapa modal pokoknya taqwa, maka lidah-lidah menjadi kelu untuk menyifati keuntungan agamanya. Dan barangsiapa yang modal pokoknya dunia, maka lidah lidah juga tidak mampu menjumlah (mengira) kerugian agamanya."

Ketaqwaan Bilal bin Rabah

Renungilah ketaqwaan Bilal bin Rabah. Betapa ketaqwaan Bilal bin Rabah telah teelakar didalam sejarah kehambaan manusia yang terpilih disisiNya. Hamba berkulit hitam ini pernah ditanya oleh Baginda SAW:

يا بلال بم سبقتني إلى الجنة؟ إني دخلت البارحة الجنة فسمعت خشخشتك أمامي. فقال بلال: يا رسول الله! ما أذنت قط إلا صليت ركعتين وما أصابني حدث قط إلا توضأت عندها ورأيت أن الله علي ركعتين فقال رسول الله صلى عليه وسلم: بهما

Mafhumnya:

"Wahai Bilal! Dengan (amalan) apa yang menyebabkan engkau mendahuluiku masuk ke dalam syurga? Sesungguhnya aku bermimpi masuk ke dalam syurga da aku mendengar suaramu telah berada di hadapanku. Bilal menjawab: Ya Rasulullah! Tidaklah aku melaungkan azan kecuali aku iringi dengan solat suna dua rakaat selepasnya dan tidaklah aku membiarkan diriku ditimpa hadas (kecil) kecuali aku aku akan bersegera berwuduk. Pada pendapatku, boleh jadi Allah memberi keistimewaan itu disebabkan solat dua rakaat yang aku lakukan itu. Rasulullah SAW menjawab: Tidak! tetapi dengan sebab kedua amalan itu."(yang menyebabkan kamu dianugerahkan Allah dengan keistimewaan tersebut)

Inilah ketaqwaan yang sempurna. Ia terhasil apabila kecintaan terhadap Allah dan RasulNya itu sentiasa mendahului dunia yang akan ditinggalkan.

Kisah seorang wanita yang bertaqwa dan Imam Ahmad bin Hanbal.

Ketika Imam Ahmad bin Hanbal selesai menyampaikan kuliah dan pengajarannya, pernah beliau ditanya oleh seorang wanita:

"Wahai Tuan Guru. Kami merupakan satu keluarga yang mencari rezeki menerusi pekerjaan menjahit dan menenun pakaian. Sedangkan kami menjahit pada waktu malam dengan menumpang lampu dari obor tentera kerajaan yang berjalan ditepi rumah kami, Apakah halal pendapatan yang kami dapat meskipun kami telah menumpang pada cahaya obor yang menerangi kami itu?"

Subhanallah! Sungguh Imam Ahmad bin Hanbal terdiam mendengar pertanyaan yang penuh dengan taqwa itu. Betapa taqwanya telah memelihara pemiliknya bukan sahaja pada perkara haram bahkan didalam persoalan syubhah.

Umar Abdul Aziz dan tiga anak muda.

Sudahkah kita membaca riwayat ketaqwaan seorang pemuda dengan khalifah Umar Abdul Aziz? Sungguh ketaqwaannya itu telah menangiskan mata khalifah yang terkenal dalam sejarah kezuhudan dan ketaqwaan khalifah-khalifah Islam.

Ya benar, Umar Abdul Aziz telah menangis sehingga membasahi janggutnya pada hari dia dikunjungi oleh tiga anak muda yang datang mengucapkan bai'ah padanya kerana dipilih sebagai khalifah umat Islam.

Disaat Umar memandang tiga anak muda itu, bertanya Umar:

"Siapakah kamu wahai anak muda?"

Pemuda pertama menjawab: "Wahai Khalifah, sesungguhnya aku anak seorang pembesar yang telah mengabdikan diri kepada pemerintah Khalifah Malik bin Marwan di Basrah."

Mendengar jawapan itu, Umar bin Abdul Aziz terdiam seketika dan kemudian dia terus bertanya lagi kepada pemuda kedua:

"Siapakah kamu?"

Pemuda kedua menjawab: "Wahai Khalifah, sesungguhnya aku anak seorang panglima tentera yang mengabdikan diri kepada pemerintah Khalifah al-Walid bin Abdul Malik."

Mendengar jawapan itu, Umar bin Abdul Aziz masih terdiam. Kemudian sambil memandang kepada pemuda ketiga Umar bertanya:

"Kamu?"

Pemuda ketiga menjawab: "Wahai Khalifah, aku bukanlah anak kepada mana-mana pembesar atau panglima yang ternama. Aku hanyalah anak kepada Qatadah bin al-Nukman al-Ansari yang matanya telah terkena libasan pedang musuh disaat dia melindungi Rasulullah SAW didalam peperangan Uhud. Pada saat darah keluar dari mata lalu mengalir ke pipinya, Rasulullah SAW telah mengusap pipi ayahku itu dengan tangan Baginda yang mulia."

Mendengar jawapan itu, menangislah Umar bin Abdul Aziz kerana terharunya sehingga membasahi janggutnya. Tidak lama kemudian, sambil memandang ke arah anak muda itu Umar berkata:

"Inilah kemuliaan yang tidak datang dari air susu (keturunan). Sesiapa yang hendak membanggakan diri, maka berbanggalah seperti apa yang dibanggakan oleh anak Qatadah ini sebab kebanggaan sebenar ialah Islam, pengabdian dan ketaqwaan kepada Allah SWT."

Subhanallah! Benarlah ketaqwaan itu merupakan wasilah dan syarat mendapat rahmat dan kurniaanNya yang sangat luas. Bahkan apa yang dinyatakan oleh khalifah Umar Abdul Aziz ini sebenarnya membernarkan apa yang telah diucapkan oleh datuknya Umar Ibn al-Khattab:

"نحن قوم أعزنا الله بلإسلام فمهما ابتغينا العز بغير م أعزنا الله أذلنا الله"

Mafhumnya:

"Kami adalah satu kaum yang dimuliakan Allah dengan Islam. Sekiranya kami mencari kemuliaan selain dari kemuliaan yang telah dijanjikan Allah, kami pasti akan dihina Allah."

Perhatikan firman Allah SWT mafhumnya:

"Dan hendaklah kamu mempersiapkan bekalan. Sesungguhnya sebaik-baik bekalan ialah Taqwa. Dan bertaqwalah kepadaKu wahai orang-orang yang berakal (yang dapat memikir dan memahaminya)."

(Surah Al-Baqarah ayat 197)

Oleh itu persiapkanlah bekalan taqwa untuk menujuNya. Tanpa bekalan pasti kita rugi disana. Bertaqwalah dengan sebenar-benar taqwa sebelum kita kembali kepadaNya. Bukankah Sayyidina Abu Bakar r.a pernah berkata:

"من دخل القبر بلا زاد فكأنما ركب البحر بلا سفينة"

Mafhumnya:

"Barangsiapa masuk kubur tanpa bekalan (taqwa) seolah-olah ia mengharungi lautan tanpa bahtera."

Didalam meniti jambatan taqarrub kepadaNya, hanya taqwalah yang menjadi ukuran nilai seseorang hamba itu disisi Khaliqnya. Bahkan ia adalah matlamat utama didalam kehidupan seseorang hamba yang menyelami dengan sebenar-benar hakikat kehambaannya. Ia seumpama buah manis yamg terhasil dari pohon-pohon syariat setelah dibajai secukupnya dengan baja mujahadah. Oleh itu, bertaqwalah dengan sebenar-benarnya agar kita benar-benar dapat menyelami hakikat kehambaan disisiNya Yang Maha Sempurna.

Penulis (Us Rashidi Jamil) berdoa agar Allah Azza Wa Jalla sentiasa membimbing kita didalam melaksanakan ketaatan padaNya dan mudah-mudahan dengan bimbinganNya itu akan terpancarlah nur taqwa buat menyuluh perjalanan kita ke perkampungan akhirat yang lebih baik serta kekal abadi. Amin.

p/s: Sama2 kita sentiasa tingkatkan taqwa kita kepadaNya..

No comments:

Post a Comment